*

Oktober 13, 2011

Mengenali svchost Dalam Windows

Svchost ialah proses untuk Service Host (Hos Perkhidmatan). Ia adalah fail exe yang berjalan sebagai fail kritikal sistem yang terletak di dalam folder System32. Apabila Windows bermula, sistem akan memeriksa Registry dan mengumpul serta menyenarai perkhidmatan atau Service yang akan dimuatkan ke dalam memori. Sebab itu anda boleh melihat banyak fail svchost.exe yang berjalan serentak dalam satu-satu masa. Senarai dan kumpulan ini diperlukan dalam sistem kawalan bagi membolehkan sesuatu aplikasi dan servis berjalan dengan lancar. Semua perkhidmatan yang terdapat dalam fail svchost ini ditunjangi oleh fail-fail DLL yang dijalin antara satu dengan yang lain.

Untuk melihat semua senarai kumpulan svchost ini, anda boleh gunakan penyunting Registry (regedit.exe) dan kembangkan ke (Lihat Rajah 1):

HKEY_LOCAL_MACHINE\Software\Microsoft\WindowsNT\CurrentVersion\Svchost



Untuk melihat senarai servis yang sedang berjalan dalam Svchost, gunakan arahan perintah berikut dalam CMD:

Tasklist /svc


Arahan Perintah
Microsoft Windows XP [Version 5.1.2600]
(C) Copyright 1985-2001 Microsoft Corp.

C:\documents and Settings\Along>tasklist /svc


Anda boleh melihat setiap svchost dan juga servis-servis berkaitan di dalamnya. Saya akan sentuh svchost 1144 yang mengandungi servis Dnscache.



Dalam senarai contoh di atas, svchost 1144 mengandungi perkhidmatan Dnscache, Dnscache ialah keupayaan Windows untuk memeta (resolve) nama hos kepada alamat IP dan menyimpannya ke dalam kec simpanan sementara. Ia adalah servis penting untuk meningkatkan prestasi capaian Internet. Sekiranya Dnscache dinyahaktif, prestasi keseluruhan komputer akan berkurangan dan trafik rangkaian bagi pertanyaan DNS akan meningkat.

Bagaimanapun maklumat yang diberikan oleh Windows tidak begitu detail. Sekiranya anda inginkan lebih maklumat berkenaan dengan sesuatu proses svchost, anda boleh memuat turun perisian Svchost Viewer. Alat ini akan memberikan maklumat lain bagi setiap proses svchost seperti ID proses tersebut, jumlah data yang ditulis atau dibaca, jenis Perkhidmatan, penggunaan memori, jenis mod, status, keterangan perkhidmatan dan juga anda boleh mengetahui sama ada sesuatu perkhidmatan mempunyai keupayaan berhenti atau tidak. Anda juga boleh menghenti sementara (pause) sesuatu perkhidmatan bagi membolehkan akses perkhidmatan secara langsung.


Perisian Svchost Viewer

Sekiranya anda ingin mengurangkan proses svchost, satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan mengurangkan perkhidmatan-perkhidmatan ini daripada berjalan secara automatik. Anda boleh mematikan mana-mana perkhidmatan atau servis yang anda rasakan perlu. Namun adalah dinasihatkan supaya anda tidak membuat sebarang perubahan tanpa mengetahui kesan kemungkinan yang akan berlaku kerana kesilapan menutup mana-mana servis akan menyebabkan kegagalan pada sistem atau bahagian tertentu.


Oleh webmaster

0 comments:

Posting Komentar